Pembelajaran Awal Bahasa Melayu

Membaca adalah proses menterjemahkan bentuk penulisan kepada bacaan atau mendapatkan makna daripada bahan bertulis itu.  Ini bermakna tanpa memahami apa-apa yang dibaca belum dianggap mahir membaca.(Nurul Aminah Basharuddin & Hasnah Mohamad, 2015)  Membaca juga dapat membantu perkembangan kognitif dan afektif seseorang murid. Justru itu, kemahiran membaca perlu dikuasai diperingkat awal persekolahan bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan agar mereka dapat berkembang secara menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, sesuai dengan Falsafah Pendidikan Negara.  Sekiranya seseorang murid tidak boleh membaca seperti rakan-rakan sebaya mereka, mereka bukan sahaja akan ketinggalan dalam pelajaran, malah mereka juga akan merasa rendah diri, hilang keyakinan diri dan kurang minat belajar.   Justeru, itu, Program Pemulihan Bacaan perlu dilakukan terhadap murid yang tidak dapat menguasai kemahiran ini. Guru haruslah memulakan pengajaran mengikut tahap yang sesuai.

Menurut (Nik Safiah Karim,1993) terdapat dua mazhab besar tentang cara kanak-kanak mula membaca; Beliau mendefinisikan bacaan sebagai tentang bagaimana kanak-kanak mengenal dan mentafsir simbol-simbol tulisan dan memberi makna kepadanya. Mazhab pertama merujuk kepada perspektif linguistik yang berasaskan kepada anggapan bahawa bahasa terdiri daripada ‘bunyi’ dan adunan bunyi yang menjadi perkataan. Mazhab ini mengajar kanak-kanak membaca bermula dengan menghafal simbol-simbol yang mewakili bunyi asas ini (fonem), iaitu huruf abjad dan bunyi-bunyi huruf tersebut. Kaedah ini juga dikenali sebagai pendekatan fonik. Di Malaysia kaedah ini sinonim dengan kaedah abjad iaitu kaedah mengenal nama-nama huruf yang digunakan dalam tulisan bahasa Melayu. Kaedah ini menegaskan hafalan-hafalan yang agak kurang bermakna bagi kanak-kanak.

Terdapat pelbagai cara dan kaedah untuk mengajar kanak-kanak membaca di antaranya ialah kaedah abjad, kaedah suku kata, kaedah fonik dan kaedah seluruh perkataan. 

Setiap kaedah tersebut mempunyai kelemahan dan kebaikannya.Walaubagaimanapun bagi memperolehi pengajaran awal bacaan yang lebih berkesan adalah sebaik-baiknya guru menggabung kesemua ciri-ciri yang terbaik kaedah-kaedah mengajar membaca (Abdul Hamid Mahmood, 2007). Dengan cara ini juga guru dapat mempelbagai cara pengajaran disamping meningkatkan kreativiti pengajaran.


 Antara kaedah yang  yang diperkenalkan ialah kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK) ialah kaedah yang menggabungkan proses mengajar mengenal bunyi huruf dengan membina dan membaca perkataan serta dapat membaca frasaatau ayat. Selain itu, kaedah ini merupakan satu alternatif kepada kaedah abjad atau fonik dan kaedah seluruh perkataan.Kaedah ini merupakan kaedah yang mudah dan berkesan untuk memulih murid yang tidak boleh atau lemah membaca.



Kaedah  ini dihasilkan sebagai satu kaedah mengajar 2M iaitu membaca dan munulis. Ia adalah aktivti mengenal bunyi bebapa huruf vokal dan konsonan. Ia juga bertujuan untuk membolehkan kanak-kanak mengenal suku kata dan seterusnya membina dan membaca perkataan, frasa atau ayat.



Secara amnya Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) merupakan satu  kaedah yang sistematik, mengambil kira sistem ejaan Bahasa Melayu yang fonemik dan suku kata yang jelas. Proses pengajaran membaca Bahasa Melayu peringkat awal untuk kanak-kanak boleh dibuat dengan  menggabungkan pengajaran bunyi beberapa huruf vokal asas ( a, i , u ) satu huruf konsonan ‘b’ untuk membentuk suku kata : b+a=ba, b+i=bi, b+u=bu, untuk membentuk perkataan seperti babu, babi. baba dan terus dibunyikan [baba], [babi], [babu] dan bentuk frasa yang bermakna /i bu/ + /baba/ = /ibu baba/.



Melalui pendekatan ini, murid tidak perlu menghafal semua huruf a b c hingga x y z, sebaliknya unsur membunyikan huruf dengan membina dan membaca perkataan boleh digabungkan dalam satu masa pengajaran membaca. Guru boleh memperluas gabungan huruf vokal dan konsonan dengan memilih beberapa perkataan suku kata terbuka yang bermakna secara ansur maju.




https://www.youtube.com/watch?v=ikRNErwR0pc&t=59s


Rujukan:


Nik Safiah Karim (1993). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Nurul Aminah Basharuddin & Hasnah Mohamad (2015). Kamus dan peranannya dalam meningkatkan minat kanak-kanak mempelajari Bahasa. International Journal of the Malay World & Civilisation, 3(1), 79-89.


Abdul Hamid Mahmood (2007). Linguistik Fonetik & Fonologi Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Aslita Sdn.Bhd.


Comments

Popular posts from this blog

Asas Prinsip Kaedah Gabungan Bunyi-Kata