Asas Prinsip Kaedah Gabungan Bunyi-Kata

Kaedah abjad dianggap sebagai kaedah nama-nama huruf yang digunakan di dalam tulisan Melayu, iaitu huruf a hingga z.(Siti Ezaleila Mustafa & Shahrul Nazmi Sannusi, 2012)  Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Murid-murid diajar menghafal nama-nama huruf secara mengikut turutan bermula dari a hingga z. Kemudian kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au, oi. Selepas itu, huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan. Pemulihan khas bertujuan untuk memberi ‘rawatan’ yang diharapkan dapat ‘mengubati’ pelajar lambat ini. Seterusnya satu kaedah yang tepat perlulah dikenalpasti bagi mengatasi masalah ini. 





Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK) bagi pengajaran awal Bahasa Melayu berbeza dengan ‘pendekatan fonik/abjad’ atau ‘seluruh perkataan’ dalam bahasa Inggeris. KGBK diasaskan berdasarkan ciri-ciri istimewa yang terdapat dalam Bahasa Melayu.

a) Ia mengambil kira sistem ejaan Bahasa Melayu yang sistematik dan fonemik: maksudnya, setiap huruf mewakili satu bunyi, kecuali huruf e, di mana terdapat dua bunyi.Misalnya, huruf a bunyinya ‘aa’, huruf b bunyinya ‘bh’, c bunyinya ‘ch’, d bunyinya ‘dh’, m bunyi ‘mm’ dan sebagainya. Hanya e mempunyai dua bunyi, iaitu e taling seperti dalam perkataan ‘emak’, ‘enam’ dan e pepet seperti dalam ‘ekor’ dan ‘elok’.

b) Suku kata Bahasa Melayu jelas, misalnya ‘ba tu’,‘ka ki’, ‘ma kan’, ‘ka kak’, ‘i tu’, ‘i tik’, ‘se ko lah’, ‘jam ba tan’, ‘bu nga’, ‘ta nya’ ‘pe nyu’ ‘su ngai’ ‘pan tai’, kam pung’, ‘per ja la nan’ dan sebagainya.

c) Tatabahasa Bahasa Melayu lebih mudah berbanding dengan tatabahasa Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Misalnya dalam Bahasa Melayu tidak ada perbezaan bentuk bagi gender (laki- laki atau perempuan) untuk menyatakan ‘banyak’ (plural),untuk menyatakan perbezaan waktu (past tense, present tense) seperti dalam bahasa Inggeris.
Dengan itu pengajaran membaca Bahasa Melayu peringkat awal untuk kanak-kanak (atau kepada sesiapa saja yang mula belajar Bahasa Melayu) boleh dibuat dengan menggabungkan :

a) pengajaran ‘bunyi’ asas (fonem) beberapa huruf vokal ‘a i u’ dan bunyi satu atau dua huruf konsonan, misalnya bunyi ‘b’, untuk membentuk bunyi suku kata ‘ba bi bu’, dan

b) terus membaca perkataan mudah ‘baba, bibi, bubu, ubi, ibu abu’, dan frasa seperti ‘bubu baba’, ‘ibu abu’ yang bermakna, dalam satu atau dua pelajaran saja.

Apabila suku kata digabungkan seperti bahagian (a) dan (b) di atas, iaitu mengabung ‘bunyi’ dengan terus membentuk perkataan dan membacanya, kita sudah mengguna apa yang dipanggil kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK), Kaedah ini dinamakan Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK), kerana dalam satu set pengajaran dan pembelajaran, ‘bunyi huruf dan suku kata terus digabung menjadi ‘perkataan’ dan mudah untuk dibaca.

Melalui kaedah ini murid diberi asas kemahiran yang mudah dan teratur untuk

a) mengesan (attack) sesuatu perkataan, dengan melihat bunyi hurufnya dan suku katanya, jika ia tidak tahu membacanya. Ini penting untuk memberi kemahiran atau kecekapan mereka membaca sendiri perkataan baru. Contohnya setelah murid boleh membaca suku kata ‘ba bi bu‘ dan ‘ca ci cu’ dan boleh membaca perkataan ‘cucu, baca, cuci’ mereka sendiri akan boleh membaca ‘cuba’ dan ‘bucu’.

b) membaca perkataan yang bermakna secara serentak dalam suatu pelajaran. Dengan ini mereka mendapati proses belajar membaca itu memberi makna dan berguna. Kajian telah menunjukkan bahawa kebanyakan murid bermotivasi untuk mencuba lagi membaca setelah mereka mula tahu membaca beberapa patah perkataan begini.


Melalui Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) akan memberikan beberapa kelebihan, antaranya 



1. murid tidak perlu diajar mengenal dan menghafal semua huruf abjad secara berturutan dari a, b, c sampai x, y, z seperti dalam kaedah abjad/fonik. Ini mengambil masa panjang (2, 3 bulan di setengah sekolah). Murid juga tidak perlu diajar semua suku kata terbua seperti ba bi bu be be bo, ca ci cu ce ce co, dsb’ yang mengambil masa sebulan lagi, sebelum murid boleh diajar membaca perkataan dan ayat.



2. murid tidak perlu diajar ‘mengecam seluruh perkataan’ (pandang dan sebut perkataan) dan menghafal bentuknya, kemudian ‘cerakin’ perkataan untuk mengenal huruf dan bunyi huruf, seperti dalam kaedah seluruh perkataan. Dalam KGBK kanak-kanak terus ‘membina’ dan ‘membaca perkataan’ berdasarkan suku kata yang mereka belajar dalam satu pelajaran itu.



3. Perkembangan unit-unit pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat secara sistematik berturutan (sequential) berkembang, di mana pelajaran yang lalu terus diguna untuk belajar membaca pelajaran yang baru. Setiap unit baru berkembang berasaskan unit sebelumnya. Misalnya, setelah murid belajar membaca ‘b dan ba bi bu’ dan perkataan-perkataan daripada suku kata ini seperti ‘ibu baba, ubi abu’, murid boleh disambung berikutnya untuk belajar bunyi konsonan ‘k’ pula; membentuk dan membunyikan suku kata ‘ka ki ku’ dan terus membaca perkataan atau frasa ‘kuku kaki aki’. Jika dicantum pula dengan suku kata ‘ba bi bu’ yang dipelajari sebelumnya, murid boleh membina dan membaca perkataan dan ayat seperti ‘buku abu; abu buka buku’. Fasa pertama kanak-kanak menguasai membina dan membaca perktaan suku kata terbuka; fasa kedua membina perkataan suku kata tertutup (kv +kvk seperti ‘ka sut’, ‘bu kit’ atau kvk+kv) seperti ‘lam pu’ ‘lembu’ dan sebagainya. Fasa berikutnya murid belajar jenis-jenis perkataan suku katanya diftong (seperti sungai, pulau) dan imbuhan seperti ber me, mem seperti ‘berjalan’, ‘memberi’, melawan’ dan sebagainya.



4. Murid juga terus membaca ayat mudah dalam sesuatu pelajaran itu. Kaedah ini merupakan satu kaedah yang amat bersistematik.



https://www.youtube.com/watch?v=_82WvgZO03k

https://www.youtube.com/watch?v=qTayyfwAabA&t=71s


Rujukan


Abdul Rashid Ali. (1992). Penguasaan Bahasa Kanak-kanak: Satu Pemerhatian Kes Awal. Jurnal Dewan Bahasa, Oktober, 942-968.


Siti Ezaleila Mustafa & Shahrul Nazmi Sannusi. (2012). Majalah sebagai bahan bacaan kanak-kanak: Analisis elemen editorial terhadap Kuntum, E-Baca dan Ana Muslim. Jurnal Pengajian Media Malaysia, 14(2), 55-65.





Comments

Popular posts from this blog

Pembelajaran Awal Bahasa Melayu